kejutan gembira

  • 1

"Sometimes it seems appealing to fall sick so that I can have a proper rest."

Begitulah kononnya, penat dengan sehari-hari. Penatnya pada fizikal dan juga emosi - pada berat meninggalkan abah dan ibu di rumah, pada hilangnya masa untuk duduk sekali menemani makan malam.

Aku berdoa, pada hari akhirat nanti, abah dan ibu terkejut. Terkejut gembira, kerana tiba-tiba ada amal-amal memberati timbangan kebaikan. Datangnya dari anaknya ini, yang titip doanya agar ganjaran kebaikan itu mengalir pada ibu bapa yang ditinggal-tinggalkan. Yang sepi sendiri di rumah. Yang risau-risau anaknya pulang lewat membelah gelita malam. Yang juga berat melepaskan pergi tapi tetap merelakan.

Wahai Tuhan yang baik hati, berbelas kasihanlah pada ibuku dan abahku yang budiman.

Dan moga ketidakmampuan ini membuat aku lebih bergantung pada Al-Qawiyy.





apa yang tinggal

  • 0

Setahun lebih pulang ke tanah air. Dalam setahun ini, ada nilai yang makin pudar, dihakis masa dan kehidupan. Pegangan, tolakan jiwa.

Ya, dalam setahun ini juga sudah banyak yang dilalui. Banyak juga nilai yang tertancap, juga makin kukuh kupegang. Juga dibina oleh masa dan kehidupan.


Sebab di sepanjang perjalanan, kita kutip batu-batu yang nampak lebih berguna untuk masa kini dan mendatang, kita cicirkan batu yang serasa hanya memberatkan. Atau terjatuh lantaran tidak lagi rapat digenggam, tiadanya pun tidak disedari.

Ini baru setahun, aku jadi risau pada masa-masa hadapan. Yang pasti lebih pantas berlalu, pasti lebih menduga jiwa.

***

Bukankah dakwah itu adalah cinta, dan cinta itu akan meminta semuanya dari diriku?
Merenung kata itu, aku jadi ragu pada cintaku. Apa benar cinta, atau kebiasaan? Apa benar aku tidak boleh hidup tanpanya?

Seorang ukht yang sungguh dekat dengan hatiku, namun jauh terpisah dan bersama pun hanya pernah beberapa hari bakal mendirikan baitul dakwah minggu hadapan. Aku kenang kembali waktu bersamanya, hikmah kata yang meluncur dari bibirnya, sinar mata yang tampak tulus, tubuh yang tampak diguna penuh untuk dakwah yang dicintainya. Terbit rasa cemburu, kerana aku melihat susuk itu, pasti seperti dalam kisah-kisah keajaiban dakwah yang biasa aku baca, terutama dari tanah sebelah sana. Aku pula bagaimana? Masih bergelut dengan masalah picisan, mujahadah ke laut, tidak signifikan di bumi apatah lagi di langit - barangkali dimurkai di atas sana. Ingin aku bertanya, apa rahsia keteguhanmu, ukht? Tapi tidak berani, kerana kujangka pasti jawapannya semudah itu - ah pasti Allah rahsianya.

Sudahlah. Mari hidup di dunia nyata.

bumi yang kita pijak bersama

  • 0

"I hope these few days will pass fasterrrrr."

Twitku beberapa hari yang lalu.
Ya, kebelakangan ini memang rasa lebih penuh jadual, lebih serabut dengan pelbagai urusan dan mas'uliah, lebih penat. Sehingga kuharapkan hari-hari terakhir dalam fasa kesibukan ini cepat-cepat berlalu pergi.

Alhamdulillah dengan tarbiah pengalaman yang Allah berikan padaku, terutama beberapa hari yang lalu. Rupanya selepas hasil imbas kembali, ini kali pertama aku berjaulah dengan adik-adik usrah sendiri. Dan bermula dari situ, aku kini punya tanggapan yang beza pada bumi jaulah kami, Kelantan :)

Pastinya, kerana di bumi ini aku berkesempatan seluas-luasnya untuk hidup bersama-sama mereka. Mengenali mereka dengan karakter yang sebenar, sama-sama sesat lapar penat kenyang, bahkan sama-sama disentuh dengan limpahan mutiara dari kalimah perkongsian makcik Pit. Dan bertemu dengan ukht yang membesar bersama dalam tarbiah, tentunya semua itu memberikan kesegaran tarbawi pada jiwa yang tinggal denyut-denyut nyawa ikan ini.

Dan kemisterian bumi Kelantan itu, yang mungkin akan kutuliskan dalam entri yang lain. Bumi yang membesarkan kebanyakan mutarabbiku. Bumi yang hakikatnya, paling islami di tanah air ini.

"Apa rahsianya, di mana kurangnya?" Kerut dahiku memikirkan.



Ah, alangkah benarnya pada jaulah itu ada sentuhan tarbiah yang beza!