"Kau takde plan nak cari kerja kat tempat lain ke?" tanya abah sambil menguis nasi dan ikan untuk suapan seterusnya.
Aku menggeleng, konon fokus mengasingkan isi ikan kerisi dari tulangnya.
Jeda beberapa minit. Aku teruskan mengunyah sawi sambil meneka-neka apa soalan abah yang bakal menyusul. Aku kira abah juga sedang berfikir-fikir respon seterusnya.
"Pelancaran haritu, mencapai target?"
Dan aku pun bercerita satu dua perkara yang harapnya menenangkan hati abah.
Lalu ayat terakhir abah,
"Terpulanglah. Kena fikirkan masa depan kau."
Aku mengangguk-angguk.
--
Sebahagian dari kehidupan menjadi anak, ialah kau mahu ibu bapa kau tenang dan percaya yang kau boleh jaga diri kau -- dan kau ingin mereka tahu, kau boleh diharap untuk menjaga mereka, dan adik-adik. Walaupun kadang kau pun taktahu camane nak teruskan hidup (ok drama terlebih), kena kekal tegap dan macho di rumah.
Moga Allah berbelas ihsan kepada ibu bapa yang mencintai kita tanpa syarat.