Di permulaan tahun terakhir aku di UK, Puan Naqibah telah menyatakan sesuatu yang penting.
"Mimy, kami dah berbincang untuk Mimy bawa usrah adik-adik penggerak di Warwick."
Titah sepenting ini disampaikan melalui Whatsapp, kerana kami tinggal berjauhan. PJJ Leeds dan Manchester.
"OH. MY." Responku di dalam hati. Beserta mimik muka yang aku rasa boleh tahan dramatik, tapi memandangkan hanya aku sendirian di bilik ketika itu.
Memang dari hujung tahun (akademik) lepas dah ada khabar angin bertiup kencang dan sesi-sesi perbincangan ringkas cumanya aku pun berlalalalala je lah selagi belum confirm.
Warwick dan Leeds itu jaraknya door to door 3 jam. Final year pula, walaupun tentunya final year Engineering tidak sama dengan final year Medic, but still - masih sesuatu yang BESAR. Dan duit. Dan tenaga, DAN DAN DAN. Adik-adik di sana BUKAN calang-calang orang, situasi di sana pun memang - sebut West Midlands, satu UK tahu bagaimana kondisinya. This, was 3-4 years back.
Saat itu aku tahu, aku takboleh lari. Aku hanya ada satu pilihan - iaitu dengan berkata Ya. But I said to Puan Naqibah.
"Kak, boleh saya confirmkan esok?"
*
Entahlah ya. Dalam hidup ini ada kalanya, apabila dihadapkan dengan sesuatu pilihan, kita dah tahu jawapan apa yang kita akan beri. Kita tahu pilihan kita hanya satu. I don't know how but its just there, the answer just lies there within us.
Tapi kita memilih untuk berhenti seketika, "Sorry, but I might need some time to decide."
Berhenti seketika sebelum memberikan keputusan.
Supaya keputusan itu dibuat bersama Allah. Sempatlah kita menangis-nangis bercerita pada Dia yang kita ini tidak langsung tahu apa yang terbaik melainkan Dia beri petunjuk. Dibuang kebergantungan kepada perasaan dan pertimbangan manusiawi diri semata-mata, tapi dipacakkan kebergantungan penuh kepada Allah. Sebab kita ini tidak begitu percaya kepada pandangan, perasaan, kecenderungan hati kita, kita hanya percaya penuh kepada Dia. Sebab kita juga tahu jalan di hadapan pasti tidak mudah, cabaran pasti lebih - jadi kalaupun kita nanti akan penuh kelemahan dan dosa waktu melalui jalan itu, tapi apabila langkah pertama itu kita usahakan bersih kerana Dia, moga-moga Dia berkenan memberi kekuatan, petunjuk. Mudah-mudahan Dia sudi menerima doa dan rintih kita nanti.
Mudah-mudahan.