menjadi kuat tidak letih

  • 0
Pada awal-awal tarbiah, aku telah diajar. Bahawa keletihan itu, seringkali hanya di fikiran. Hanya pada perasaan, pada tanggapan.

Kita rasa kita perlu rehat. Kita rasa kita penat. Kita rasa kita dah menggunakan banyak tenaga, banyak masa. Dan badan kita perlukan masa untuk pulih.

Padahal kita mampu untuk melakukan lebih lagi.

Pada weekend yang penuh dengan pengajaran kehidupan ini (T.T tiket bas habis, kena tinggal bas, naik bas dua jam lewat dari sepatutnya, ditambah kepedihan perasaan missed sharing tarbiah yang bermakna dalam hidup) aku kembali teringat saat-saat aku ke hulu ke hilir di bumi di sebelah sana. Sejak bila perjalanan 3-4 jam itu jauh dan memenatkan, sedang itu rutin kehidupanku hampir setiap minggu waktu dulu? Baik dengan bas ataupun dengan train. Usrahku pun sejam perjalanan, usrah adik-adikku 3-4 jam bergantung kepada naik train atau bas (bas selalu lebih murah tapi lebih lama). Daurah pun tidak jarang perjalanannya mengambil masa yang lebih kurang sama, itupun kalau tidak perlu merentas ke negara sebelah semata untuk program tarbiahku. Orang biasa pasti melongo aneh - ke negara sebelah hanya dua tiga hari weekend, bukan pada waktu cuti panjang, menghabiskan kadang sehingga mencecah ratusan pound?

Kerehatan itu, kadang hanya mainan di fikiran. Mungkin kerana melihat-lihat orang sekeliling yang duduk bersahaja, terasa out of place. Bukankah jalan ini yang kita pilih, pastinya bukan jalan berehat-rehat dan penuh kesenangan. Tambahan lagi di bumi nyata ini, bila tanggungjawab semakin bertambah, keliling pinggang uols. Penat itu barangkali bukan kerana lelah jasad, tetapi lebihnya itu adalah lelah di fikiran, lelah di perasaan. Yang ubatnya adalah keterikatan dengan Yang Maha Kuat, meresap masuk ke dalam fikiran jadi optimis penuh semangat, mengalir jadi kekuatan pada tulang empat kerat.

Biarlah kita berehat pada waktu yang kita benar-benar perlukannya. Dan moga kerehatan di syurga setelah berlelah di dunia, menjadi kemuncak kehidupan kita.

12 Apr 2014
Stesen KTM Bandar Tasik Selatan

hidup ke mati tu

  • 0

Satu kerisauanku apabila pulang ke Malaysia ialah aku kembali menjadi seorang yang 'tertutup'. Tidak peduli dan tidak merasa terlibat dengan apa yang berlaku pada ummah di luar sana. Selesa dengan keadaan sendiri. Terlalu sibuk dengan sehari-hari di depan mata sehingga tidak kisah pening derita saudara-saudaraku di luar sana.

Di United Kingdom, aku sendiri golongan minoriti. Di depan mataku adalah kepelbagaian manusia, bermacam ragam yang mengingatkan aku di sini bukan sendiri-sendiri. Yang aku cintai di Leeds Grand Mosque, masjid berhampiran dengan rumahku, adalah melihat betapa umat Islam ini terpisah oleh seribu satu perbezaan, tapi yang menyatukan itu akidah yang indah. Yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa. Berada di sana pada detik-detik bersejarah ummah membuat aku insaf - Arab Spring, naik dan jatuh Mursi, serangan ke atas Palestin berkali-kali. Aku pernah ceritakan bukan, pengalamanku sewaktu turut berdemonstrasi bersama orang-orang kafir yang hatinya lembut oleh penderitaan manusia lain?

Di tanah air sendiri aku rasa mudah tenggelam dan lemas. Yang pentingnya aku aku dan aku. Duitku. Perutku. Perasaanku. Sakit peningku. Derita yang paling besar itu milik aku. Yang paling susah itu tentu aku. Ah apa yang mereka mengerti mengenai hidupku?

Petang ini aku membuka berita-berita ummah yang selama ini kubaca sekali lalu sahaja di laman Facebook. Sayup-sayup sekali rasa dalam hatiku, sesayup peduliku kepada mereka.

Knock knock heart, are you still there?