hidup ke mati tu

  • 0

Satu kerisauanku apabila pulang ke Malaysia ialah aku kembali menjadi seorang yang 'tertutup'. Tidak peduli dan tidak merasa terlibat dengan apa yang berlaku pada ummah di luar sana. Selesa dengan keadaan sendiri. Terlalu sibuk dengan sehari-hari di depan mata sehingga tidak kisah pening derita saudara-saudaraku di luar sana.

Di United Kingdom, aku sendiri golongan minoriti. Di depan mataku adalah kepelbagaian manusia, bermacam ragam yang mengingatkan aku di sini bukan sendiri-sendiri. Yang aku cintai di Leeds Grand Mosque, masjid berhampiran dengan rumahku, adalah melihat betapa umat Islam ini terpisah oleh seribu satu perbezaan, tapi yang menyatukan itu akidah yang indah. Yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa. Berada di sana pada detik-detik bersejarah ummah membuat aku insaf - Arab Spring, naik dan jatuh Mursi, serangan ke atas Palestin berkali-kali. Aku pernah ceritakan bukan, pengalamanku sewaktu turut berdemonstrasi bersama orang-orang kafir yang hatinya lembut oleh penderitaan manusia lain?

Di tanah air sendiri aku rasa mudah tenggelam dan lemas. Yang pentingnya aku aku dan aku. Duitku. Perutku. Perasaanku. Sakit peningku. Derita yang paling besar itu milik aku. Yang paling susah itu tentu aku. Ah apa yang mereka mengerti mengenai hidupku?

Petang ini aku membuka berita-berita ummah yang selama ini kubaca sekali lalu sahaja di laman Facebook. Sayup-sayup sekali rasa dalam hatiku, sesayup peduliku kepada mereka.

Knock knock heart, are you still there?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan