Semenjak kebelakangan ini, dia lebih kerap melihat ke langit. Terutama bila memandu. Pelik ya, fikirnya, bila langit itu sentiasa ada, dan sentiasa memenuhi ruang pandang dia, tapi tidak memenuhi ruang fikir dan tadabbur.
Dia selalu kagum pada langit. Wajah langit selalu berbeza, tak pernah sama. She noticed that the sky always remain composed, and calm. Tak kira apa kekalutan yang ada di bawah ini, langit tetap begitu. Menenangkan.
Dan dia mahu setenang langit. Satu masa dia cuba, tika itu dia fikir, formulanya ialah menyembunyikan perasaan. Biar bergolak dalam jiwa, tapi muka dan tingkah harus tetap segak. Biar berombak di dada, patah kata harus terkawal dan tidak sewenang-wenang.
Setelah beberapa lama, bila dah tewas dan dah lupa pun nak amalkan formula itu, dia fikir semula. Mungkin bukan itu caranya. Segaknya langit kerana teguh pasaknya. Bukan kerana licik menyembunyi. Dia pula hanya terburu menyorokkan, tapi tidak menyiasat akar. Apa datangnya dari mata air yang benar, atau pada gelojak rasa yang cinta dunia?
Dia akan cuba pula formula baru ini, insyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan