10 hari ini

  • 0

"Alhamdulillah dah selamat bersalin baby mujahidah. Doakan agar Allah sentiasa menjaga dia. Dicintai Allah dan mencintai-Nya sepenuh hati."

Maklum usrahmate dia. Sungguh, tersentuh hati dia dengan doa harap seorang ibu itu.

Dicintai Allah, dan mencintai-Nya sepenuh hati.

Bagaimana dia? Bagaimana hatinya? Tidak pun mencintai-Nya sepenuh hati. Penuh hatinya itu dengan sesuatu yang lain - entahkan apa. Dunia dan seisinya. Sampai hampir pecah.

10 hari terakhir Ramadhan. Dia khuatir, kerana 20 hari sebelumnya tidak cantik dan banyak celanya. Waktunya tidak semewah dulu, sedar-sedar sudah gelap, tapi tilawahnya masih merangkak. Bikin malu, sedang dia bekerja dengan ikhwah akhawat. Blerghh.

Kerana awalnya tidak indah, maka dia perlu lebih mengharap pada yang hujungnya. Lebih dari orang lain.

Pagi ini dia tertunduk malu dengan Penciptanya, kerana compang-camping jiwanya. Malu dengan mereka yang perjuangannya disaksikan penduduk dunia, dan gemilang pancarnya sampai ke langit. Yang mati mereka itu menghidupkan. Sedang hidupnya dia itu sebenarnya mati.

10 hari ini.
Agar dia mencintai Allah sepenuh hati. Moga penuh barakah. Moga tidak tunduk dia dengan lelah dan sukar. Moga tidak menyejuk sebelum waktunya. Moga layak dia mendapat rahmat dari Pencinta.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan